JITRA - Geram kerana tidak dibayar gaji, seorang lelaki sanggup membunuh dan membakar hingga rentung majikannya, seorang penternak ayam, di Kampung SC, Mukim Hosba dekat sini kelmarin. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Sawaluddin Hamenuddin berkata, mayat Tan Ah Yee , 64, ditemui di dalam sebuah bilik di rumahnya yang musnah dalam kebakaran pada pukul 11 malam.
Turut ditemui selaras senjata api dipercayai milik mangsa. Menurut beliau, pada awalnya suspek, seorang warga tempatan, yang merupakan pekerja mangsa memberitahu bahawa dia dan majikannya itu disamun oleh tiga lelaki bertopeng. "Lelaki itu memberitahu bahawa selepas disamun, dia pengsan dan apabila tersedar, rumah majikannya sudah terbakar," kata Sawaluddin di sini semalam. Bagaimanapun, menurut beliau, siasatan mendapati kenyataan yang diberikan lelaki itu menimbulkan keraguan menyebabkan lelaki itu ditahan.
"Polis percaya mangsa dibunuh di luar rumah iaitu di kawasan reban ayam di sebelah rumah tersebut sebelum mangsa diheret ke dalam rumah. Suspek kemudian membakar rumah itu," katanya. Sawaluddin berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan menunggu keputusan bedah siasat untuk memastikan sama ada mangsa dibunuh sebelum dibakar atau sebaliknya. Beliau berkata, semasa kejadian mangsa berada seorang diri di rumah yang dibina dalam kebun getah tempat dia menternak ayam.
Polis percaya pembunuhan itu hanya dilakukan seorang suspek. "Suspek bekerja dengan mangsa, ada kemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan mangsa tidak membayar gaji lalu mencetuskan perselisihan faham dan ia berakhir dengan tragedi itu," katanya. Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

![18SX [+]](http://i.imgur.com/yXwB8.gif)









